@ Bersuara Untuk Menyuarakan Suara @ "..Berkatalah jika perlu, berbicaralah andai mahu...Susunlah kata agar sebolehnya suara yang dinukil tidak mencederakan sesiapa! Sekiranya nada itu terpaksa menerbitkan luka, maka lontarkanlah…Seandainya luka yg ditoreh itu adalah penawar & penyembuh.."

Jumaat, Jun 11, 2010

Waka Waka Shakira Iringi Kuasa Jabulani; Tiupan Vuvuzela; Semangat Bafana Bafana

Secara rasminya, lagu ciptaan penyanyi pop latin kelahiran Colombia, Shakira Mubarak bertajuk ‘Waka Waka (This Time For Africa)’ dipilih sebagai lagu tema rasmi Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010. Shakira akan menyampaikan lagu ini secara langsung pada majlis pembukaan rasmi di Stadium Soccer City, Soweto diiringi penampilan khas kumpulan muzik terkenal Afrika Selatan, Freshlyground.

Seiring dengan itu, keghairahan bolasepak di planet bumi kini bermula! Fanatik bola kini tertumpu ke Afrika Selatan untuk edisi ke 19 Piala Dunia. Selama sebulan, seluruh dunia akan bersama merasai kebingitan tiupan ‘Vuvuzela’ biarpun skuad 'Bafana Bafana' diramal tidak mampu pergi jauh!
 Semestinya juga anda semua mempunyai pasukan favourite sendiri dan sokongan padu akan terus diberikan dari detik sepak mula 11 Jun 2010 sehinggalah ke tiupan wisel penamat kejohanan pada 12 Julai 2010 nanti…Paling menarik, kali ini seluruh dunia bakal menyaksikan kelibat pengadil dari negara kita yang terpilih buat julung kalinya meskipun hanya sebagai pegawai perlawanan keempat! Perasaan kita sebagai rakyat Malaysia pastinya tambah teruja apabila beliau terpilih bertugas di perlawanan pembukaan Afrika Selatan vs Mexico!

Beliau yang dimaksudkan ialah Subkhidin bin Mohd. Salleh yang juga merupakan seorang guru! Berusia 44 tahun, Subkhidin mengajar di Sekolah Menengah Vokasional Nibong Tebal, Pulau Pinang. Beliau menjadi pengadil mulai tahun 1990 dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa oleh FIFA pada tahun 2000…Tahun 2010 menyaksikan beliau menempa sejarah tersendiri bukan sahaja buat dirinya tetapi juga untuk negara kita Malaysia!

Oleh itu, sudahkah anda bersedia melayani kuasa  ‘Jabulani’ di kaca TV? Pasukan negara manakah yang menjadi pilihan anda untuk muncul juara edisi kali ini? Bagi saya sudah semestinya England…Dulu, kini dan selamanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan