@ Bersuara Untuk Menyuarakan Suara @ "..Berkatalah jika perlu, berbicaralah andai mahu...Susunlah kata agar sebolehnya suara yang dinukil tidak mencederakan sesiapa! Sekiranya nada itu terpaksa menerbitkan luka, maka lontarkanlah…Seandainya luka yg ditoreh itu adalah penawar & penyembuh.."

Isnin, Mei 31, 2010

Belangkas

‘Macam belangkas’ adalah perumpamaan Melayu yang merujuk kepada perlakuan sepasang lelaki dan perempuan yang pada kebiasaannya merupakan pasangan kekasih yang sering berdua walau di mana dan ke mana sahaja seolah-olah tidak dapat dipisahkan lagi. Perumpamaan ini sudah biasa kita dengar tetapi bagaimana bentuk dan rupa belangkas itu yang mungkin tidak diketahui oleh sesetengah orang…

Belangkas merupakan sejenis haiwan yang hidup di laut masin namun boleh juga di dapati di kawasan paya air tawar. Perumpamaan ‘macam belangkas’ digunapakai merujuk kepada sifat belangkas itu sendiri yang sering berdua-duaan, jantan dan betina. Belangkas mudah ditangkap di tepi-tepi pantai kerana tidak menggigit dan tentunya tidak berbahaya kepada manusia. Di sebalik ‘wajah’ bengis dan menyerupai topi perisai tentera ini, ketahuilah juga bahawasanya belangkas ini boleh di makan dan kian menjadi santapan popular di sesetengah tempat. Salah satu tempat yang menjadikan belangkas ini sebagai menu istimewa adalah Restoran Belangkas Mahkota di Kota Tinggi, Johor.

Restoran yang diusahakan oleh Abdul Hamid Musa ini turut menjadi kegemaran kerabat Diraja Johor terutama Tunku Mahkota, Tunku Ibrahim Ismail (Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar) dan nama restoran ini sendiri telah diilhamkan oleh beliau. Telur dan isi belangkas yang lemak dan manis (lebih sedap dari ketam) sememangnya menjadi menu utama pelanggan di restoran ini dan anda jangan bermimpi untuk menikmati menu ini sekiranya tiba lewat dari jam 12 tengahari…Percayalah!
                                                                                 
Untuk menyediakan masakan belangkas ini sudah pastinya memerlukan kemahiran dan kepandaian memandangkan belangkas mempunyai sejenis toksin yang memabukkan. Maka tidak hairanlah mengapa lebih ramai individu yang lebih senang mendapatkannya dalam bentuk ‘sedia dimasak’ daripada memasaknya sendiri. Paling sedap sekiranya belangkas ini dimasak asam pedas ataupun goreng bercili…Perghh!! Dan pengalaman pertama menikmati hidangan belangkas goreng bercili baru-baru ini sungguh mengujakan! Anda bagaimana? Ada berani?
                                                                                   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan