@ Bersuara Untuk Menyuarakan Suara @ "..Berkatalah jika perlu, berbicaralah andai mahu...Susunlah kata agar sebolehnya suara yang dinukil tidak mencederakan sesiapa! Sekiranya nada itu terpaksa menerbitkan luka, maka lontarkanlah…Seandainya luka yg ditoreh itu adalah penawar & penyembuh.."

Jumaat, Mei 14, 2010

Piala Thomas 2010 : Mampukah Kita Ke Akhir?

Syukur kerana setelah dikejutkan di peringkat kumpulan apabila tewas di tangan Jepun 2 -3, skuad badminton Piala Thomas negara akhirnya berjaya jua ke separuh akhir apabila menang 3 - 2 ke atas Denmark. Di separuh akhir, kita akan menentang China yang seperti kita semua maklum merupakan kuasa besar badminton dan penyandang juara. Mampukah kita menang malam nanti?
Atas kertas sememangnya harapan tidak memihak buat pasukan kita. Mengukur kekuatan mengikut ranking. memang benar Datuk Lee Chong Wei dan beregu Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berada di atas. Tapi sekiranya persembahan semasa dan konsistensi diambil kira, peluang sekadar 50-50. Namun begitu, satu perkara yang mampu menjadi faktor lonjakan adalah kelebihan bermain di halaman sendiri. Sorakan padu daripada penonton tanahair bakal meniup api perjuangan dan membakar semangat pemain! Perkara ini sememangnya bukan mustahil kerana ianya telah terbukti pada kejohanan 1992 yang banyak signifikannya dengan kejohanan tahun ini. Selain Kuala Lumpur menjadi tuan rumah, skuad Piala Thomas 1992 juga sebenarnya bukanlah pasukan pilihan dan hampir terbukti apabila tewas di tangan Korea Selatan 2-3 di peringkat kumpulan. Bertemu China di separuh akhir, skuad negara mempamer aksi luar biasa dengan sokongan padu penyokong tempatan apabila menang 3-2 seterusnya muncul juara apabila menewaskan Indonesia di perlawanan akhir. Seperti ada sesuatu, tahun ini pasukan negara seperti mengulangi skrip serupa apabila tewas di tangan Jepun di peringkat awal; menewaskan  Denmark di suku akhir dan menempah pertemuan dengan China di separuh akhir. Sekiranya menang malam ini, pasukan negara diramal bertemu Indonesia (yang bertemu Jepun di separuh akhir lagi satu) di perlawanan akhir Ahad nanti. Jika ini berlaku maka 'cerita' 1992 berulang sekali lagi tahun ini. Secara kebetulan juga, kejohanan 1992 dan 2010 ini berlangsung dalam bulan yang sama iaitu Mei...Fakta menarik bukan?
Apapun ini hanyalah sekadar cerita kerana malam nanti adalah kisah yang sebenar benarnya...Kita nantikan sama ada persamaan dan kebetulan ini benar-benar terjadi atau sekadar dongeng semata-mata. Untuk itu, sama-samalah kita memberikan sokongan dan semangat buat skuad kita...Fikirkan Boleh, Pasti Boleh!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan