@ Bersuara Untuk Menyuarakan Suara @ "..Berkatalah jika perlu, berbicaralah andai mahu...Susunlah kata agar sebolehnya suara yang dinukil tidak mencederakan sesiapa! Sekiranya nada itu terpaksa menerbitkan luka, maka lontarkanlah…Seandainya luka yg ditoreh itu adalah penawar & penyembuh.."

Rabu, Mei 12, 2010

Niat Menghalalkan Cara?

Kegilaan masyarakat bolasepak di seluruh dunia muncul lagi. Dianjurkan empat tahun sekali, Piala Dunia untuk tahun 2010 menyaksikan giliran negara Afrika Selatan menjadi tuan rumah...Penganjuran buat pertama kalinya di benua Afrika!

Satu perkara yang pasti berlaku di setiap kejohanan sebelum ini adalah kegiatan pertaruhan dan perjudian yang memuncak di seluruh dunia. Fanatik bola dan fanatik judi bersatu memanfaatkan keghairahan seluruh penghuni planet bumi ini untuk meraih pendapatan tambahan yang lumayan...Mungkin juga sekadar berseronok bagi sesetengahnya. Bagi negara-negara barat pula, perjudian ini dibenarkan asalkan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa...Tentunya juga  kerajaan meraih pendapatan yang tak disangka-sangka menerusi pengeluaran lesen ini! Bagi negara-negara Islam, strictly NO! Ini kerana sebarang bentuk perjudian adalah diharamkan atas nama apa sekalipun...Niat tidak menghalalkan cara! Benar ke?

Sengaja saya bertanya begitu kerana kejutan yang saya terima apabila membaca tajuk berita utama sebuah akhbar tempatan tempohari. Sedari kecil saya diberi kefahaman dan didikan bahawa perjudian itu haram di sisi Islam, kini tatkala saya pula mempunyai anak-anak yang masih kecil, telah terbit kenyataan dari Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein bahawa pihak Kerajaan Pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram di negara kita. Astarghfirullah Al Azim...

Nak dipertimbangkan apa lagi lah wahai Pak Menteri dari kerajaan yang memerintah; beragama Islam; berasal dari Kelantan ni!  Satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus. Saya akui, saya bukannya seorang muslim yang baik...Akan tetapi, perkara yang tidak baik dan berlawanan dengan prinsip Islam tetap saya tentang dan lawan...Paling tidak, untuk kelangsungan generasi berikutnya yang turut melibatkan anak-anak saya! Sekiranya anak saya yang mulai bertatih membaca itu secara tiba-tiba bertanya tentang hal ini, bentuk jawapan yang bagaimana harus saya berikan padanya...Di saat dia sedang meniti zaman seronok untuk bertanya itu dan ini tentang apa yang dilihat; didengar dan dibacanya; apakah bait-bait kata paling mujarab untuk saya berikan agaknya sedangkan apa yang saya ajar  & tekankan padanya sebelum ini bertentangan dengan apa yang dibacanya kali ini? Wallahu Alam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan