@ Bersuara Untuk Menyuarakan Suara @ "..Berkatalah jika perlu, berbicaralah andai mahu...Susunlah kata agar sebolehnya suara yang dinukil tidak mencederakan sesiapa! Sekiranya nada itu terpaksa menerbitkan luka, maka lontarkanlah…Seandainya luka yg ditoreh itu adalah penawar & penyembuh.."

Khamis, Mei 20, 2010

Menjejak Kaki Di ‘Tanah Besar Paling Selatan Di Benua Asia’ dan ‘Tanah Besar Paling Hujung Di Kepulauan Borneo’

Sebagai warganegara, keupayaan untuk menjejakkan kaki ke setiap negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak merupakan detik terindah dan boleh disifatkan sebagai kejayaan peribadi. Kenyataan ini tidak boleh diperkecilkan kerana tidak semua orang beroleh kesempatan begini. Atas banyak sebab dan faktor penentu, sesetengahnya mungkin sudah sampai ke seluruh pelusuk Semenanjung tetapi masih belum punya peluang untuk memanjangkan langkah ke Sabah dan Sarawak. Percayalah juga hakikat bahawa masih ada sebilangan orang yang mungkin berlegar di persekitaran tempat tinggal mereka sahaja dan tidak pernah keluar merentasi sempadan negeri…Fakta ini membuatkan aku berasa begitu bertuah walau sekadar catatan peribadi!



Bertuahnya juga aku kerana berjaya mencatatkan kejayaan menjejakkan kaki ke dua tempat unik yang mungkin lagi kecil bilangannya buat orang lain melakukan pencapaian sebegini. Yang pertamanya apabila berpeluang sampai ke Tanjung Piai yang merupakan ‘Tanah Besar Paling Selatan Di Benua Asia’. Keduanya, tatkala kaki dijejakkan di Tanjung Simpang Mengayau, Kudat, Sabah yang merupakan ‘Tanah Besar Paling Hujung Di Kepulauan Borneo’. Satu paling selatan, satu lagi paling utara…Yang ini di Malaysia Barat, manakala yang itu di Malaysia Timur…Terasa diri ini hebat, HeHe!

Tanjung Piai terletak dalam mukim Kukup, daerah Pontian, Johor  dan terkenal dengan restoran makanan laut dan juga mempunyai hutan paya bakau yang luas. Dapat juga kita melihat bangunan pencakar langit Singapura dari sini yang cuma dipisahkan oleh Selat Johor. Sebuah mercu tanda yang tertulis 'Tanah Terselatan Benua Asia' dibina di sini pada 2001. Terletak 90 km ke selatan pusat bandar Johor Bahru, Tanjung Piai juga merupakan Taman Negara yang membolehkan para pelawat memerhati hidupan liar di paya bakau di dalam habitat semulajadinya. Taman ini menjadi tempat kediaman pelbagai jenis spesis unggas dan hidupan paya bakau yang lain.

Tanjung Simpang Mengayau yang turut dikenali sebagai The Tip Of Borneo pula terletak kira-kira 200km dari Kota Kinabalu dan menjadi tempat bertemunya Laut China Selatan dan Laut Sulu. Diterjemahkan sebagai ‘Simpang yang Berpanjangan’, Simpang Mengayau menjanjikan pemandangan memukau yang melepasi Laut China Selatan menerusi ritma alam semula jadinya cukup mempesonakan yang terjalin dari rangkaian hempasan ombak; desiran bayu; pantai yang memutih; laut membiru dan batuan memecah. Sungguh indah dan takjub pemandangan di sini…Subhanallah!

Sesungguhnya kesempatan yang diperoleh ini amat besar maknanya buat diri aku. Mungkin biasa2 sahaja buat sesetengah orang tetapi bagi insan biasa seperti aku, apa yang dikecapi ini adalah satu anugerah yang terindah…Yang aku lihat; aku selami; aku nikmati;  dari sudut pandang yang paling dalam!



1 ulasan:

  1. kalau tak kerana status penjawat awam,.. belum tentu kita dapat merasa pengalaman seperti ini jua yang lainnya.

    BalasPadam